Biodata Pengasas Raudhatul Ulum (Tuan Guru Dato Hj Husin Langgar)

>> Tuesday, September 1, 2009



Tuan Guru Dato’ Hj Hussin Langgar dalam kenangan

Tuanguru bukan anak jati negeri Kedah. “Saya lahir di Tanjung Pura, Langkat,Sumatera Utara pada tahun 1906”. Tahun kelahiran beliau ditandai dengan suatu peristiwa besar dalam sejarah negeri Langkat,iaitu isti’dat perasmian Masjid Besar Langkat oleh baginda Sultan Langkat waktu itu – Sultan Abdul Jalil.[1]

Ayah beliau bernama Hj Soleh Bin Muhammad Khatib, manakala ibunya bernama Hajjah Kalsom Binti Muhammad Arif. Saya anak kedua dari empat orang saudara seibu sebapa”, Menurut beliau lagi, meskipun saya di lahirkan di Tanjung Pura, tetapi keluarganya berasal dari Bankinang,Kampar ( sekarang termasuk dalam prupinesi Riau).

Pada waktu beliau berumur antara dua hingga tiga tahun, ayahnya berhasrat mahu mendalami ilmu agama di Kedah.Apabila hasrat ini akhirnya berbuah menjadi kenyataan dan ayahnya betul-betul belajar kepada Tuan Guru Haji Muhammad Bin Umar di Langgar,beliau dibuyung ke Kedah.Turut berpindah ialah ibu dan saudara sulungnya ( tidak jelas lelaki atau perempuan ). Tidak lama di Kedah, Hj Husin beroleh dua orang adik lagi menjadikannya empat orang adik beradik seibu sebapa – dua lelaki dua perempuan.

Ayah kemudian memilih untuk menetap di Kedah. Sambil belajar beliau berkebun. Beliau meninggal tidak lama sebelum Jepun masuk” .[2]

Sebelum itu, ayahnya sempat kahwin lagi di Kedah.Perkhawinan ini melahirkan seorang lagi adik beradik lelaki bernama Hj Umar yang kemudiannya dikenali dengan nama Tuan Guru Hj Umar, Jitra ( ayahanda kepada Profesor Doktor Ismah Hj Umar, Universiti Malaya dan Doktor Afifuddin, Timbalan Menteri Kewangan ).

Hj Husin mulai belajar mengaji al-Quran pada waktu berusia 8 tahun. “ Saya belajar mengaji dalam pondok ayah .Menurut beliau lagi, gurunya selain ayahnya ialah menantu Tuk Guru Tua bernama Hj Ahmad B. Hj Yasin. “ Apabila menjejak usia empat tahun , saya belajar bahasa arab pula”.

Selepas memperoleh ilmu-ilmu asas ini( al-Quran dan bahasa arab) juga ilmu-ilmu seperti aqidah (Usuluddin) dan Feqah,beliau mendapat restu ayahnya untuk belajar di peringkat yang lebih tinggi di Makkah.

Saya naik ke Makkah bersama seorang kawan dari Indonesia bernama Hj Sihi” . Waktu itu umur beliau baru 19 tahun.[3]

Di Makkah, Hj Hussin tinggal selama 3 tahun.Selama di Makkah,beliau antara lain sempat belajar kepada guru-guru seperti Syeikh Abdul Qadir al-Mandili ( Tua ),Hj Abdul Majid Jambi, Syeikh Jamal ( Mufti Maliki ), Syeikh Ahyad, Syeikh Mukhtar Bogor, Tok Senggora dan lain-lain.

Saya pulang ke Kedah pada waktu Wahabbi mula-mula masuk ke Makkah” ,tuturnya. Walaupun menurutnya beliau bercadang untuk tinggal lebih lama di Makkah , akan tetapi huru hara perang Wahabbi telah menyebabkannya mengambil keputusan untuk pulang lebih awal.[4]

Pada waktu itu orang yang baru pulang dari Makkah,apalagi alim pula,cukup laku”. Kenang beliau sambil tersenyum. “Tidak lama selepas pulang, saya segera dikahwinkan dengan Hajjah Zawiyah Bt. Hj Abu Bakar B. Hassan , seorang warga Kedah tetapi berasal dari N9”, terang beliau.

Selepas kahwin, Hj Hussin mula mengajar di Pondok mertuanya di Alor Keladi , Langgar. “Saya mengajar selama enam tahun”. Selepas enam tahun beliau berpindah ke Langgar : mengajar dan kemudian mendirikan madrasahnya sendiri- Madrasah Raudhatul Ulum pada tahun 1351H ( bersamaan 1932 ).

Menurutnya, selama mengajar di Langgar inilah beliau baru merasakan bahawa ilmu beliau yang ditimba beliau di Makkah dahulu tidak cukup banyak. “ Masa belajar dahulu terlalu singkat, dan saya terburu pulang kerana perang”, sesalnya. “Inilah masanya,saya berulang alik ke Kelantan , belajar kepada Tuk Kenali, Hj Ahmad Maher , Hj Ya’kob Legor dan lain-lain”.

Hj Husin belajar di Kelantan sekitar tahun mulai 1931.Tidak lama selepas Tuk Kenali meninggal dunia pada bulan November 1933, Hj Hussin memilih untuk mengakhiri kembara ilmunya, bagi memberi perhatian kepada pondok yang dibangunkan pula.Beliau berkhidmat di pondok ini sehingga umurnya tua.

Di Kedah, Hj Hussin dikenali sebagai ulama yang sangat dihormati dan disegani. Beliau dikenang kerana sumbangan beliau yang banyak dalam membina dan memperkembangkan ilmu-ilmu Islam di negerinya.Selain mendirikan Madrasah Raudhatul Ulum dan menjadi “ Tuk guru” yang dituakan,Hj Hussin, sehingga keakhir hayatnya, dilantik menjadi ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah, dan ahli Majlis Zakat Negeri Kedah.Selain dari itu, beliau juga aktif “mendokong perjuangan Islam yang diterajui PAS sejak daripada mula hingga ke akhir hayatnya”,[5].

Bagi mengenang jasa-jasanya dalam pembangunan ilmu dan kehidupan Islamiah di negeri Kedah,Hj Hussin sempat menerima anugerah “ Tokoh Ma’al Hijrah” peringkat negeri Kedah daripada kerajaan negeri pada tahun 1990 , di samping mendapat kurnian gelaran “Dato’” daripada baginda Sultan Kedah pada tahun 1994.Selain itu, dalam perjuangan parti yang disertainya pula(PAS) beliau adalah penerima anugerah “Tokoh Ulama PAS Kedah” sempena Hari Penerangan PAS pada tahun 1996.

Hj Hussin termasuk tokoh ulama senior negeri Kedah, malah mungkin tertua dalam tempoh 10 tahun terakhir abad ke-20 ini. Ulama sebaya beliau, Hj Abdullah B. Hj Yusuf ( lebih dikenali dengan Hj Abdullah Langgar)[6].Manakala dua orang lagi ulama sezaman- Hj Abd . Aziz B. Hj Ibrahim,Pendang dan Hj Yahya Junid,Padang Lumat ,diperkirakan beberapa tahun lebih muda daripada beliau.[7]

Allahyarham meninggalkan dua orang balu – Hajjah Derma Bt. Hj Muhd dan Hajjah ‘Izzah Bt. Syeikh Ismail Hafiz ( isteri pertama beliau- Hajah Zawiyah-meninggal dunia pada masa pendudukan Jepun di Tanah Melayu). Daripada tiga orang isteri ini Allahyarham beroleh 16 orang anak.Tujuh lelaki dan sembilan perempuan .[8]

Anak sulung beliau , Muhammad ( sekarang dikenali dengan Syeikh Muhammad) , mengimami jenazah Allahyarham.Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pondok Tasak,Langgar.

“Ya Allah ,jadikanlah kuburnya taman dari taman-taman syurga yang bersama-sama dengannya nikmat-nikmat yang Kau kurniakan ke atas mereka dari kalangan anbia’, sodiqin ,syuhada’ dan orang-orang soleh”

Sumber :

I. Pengasuh ( Majalah Bulanan Dakwah & Hadharah Islamiah) – Bil. 549

II. HARAKAH keluaran 8hb Ogos 1997

III. Ulama-ulama Negeri Kedah –Keluaran Pertama

IV. Sumber gambar-gambar kajian- Koleksi Peribadi Ibnufathani

V. http://ibnufathani.blogspot.com/

VI. http://rijalmuhibbin.blogspot.com/

p/s : Alhamdulilah ,ibnufathani selesai menaip pada malam Selasa ( 11 Ramadhan 1430H) pada jam 11.50 malam.Sebenarnya sejarah tokoh diatas sudah dikaji oleh ibnufathani pada tahun 2006, ketika itu ibnufathani berusia 15 tahun dan menuntut ilmu di Maktab Mahmud Pokok Sena yang dahulunya dikenali Madrasah Raudhatul Ulum.Semoga manfaat buat semua sahabat-sahabat dan kita semua diberkati .Jika ada sebarang teguran, pembetulan atau penkongsian bahan bolehkan e-mail kepada syababul_muslim91@yahoo.com.my atau ibnufathani@gmail.com .Sekian.


[1] PENGASUH ( Majalah Bulanan Dakwah& Hadharah Islamiah – Bil.549)

[2] Segala perbualan tersebut adalah diantara Tuan guru Hj Husin sendiri dengan Ustaz Abdul Razak Mahmud 1993 bersama Hj Syamsuddin B. Muhd Yusuf dari Persatuan Sejarah Malaysia cawangan negeri Kedah.

[3] Beliau tidak menyatakan pada tahun berapa beliau ke Makkah,tetapi berdasarkan tarikh lahirnya pada tahun 1906, maka adalah diperkirakan tahun keberangkatan ke Makkah ini berlaku pada tahun1925.

[4] Adalah diperkirakan tahun kepulangannya di Kedah terjadi antara penghujung 1927 dan awal 1928.

[5] HARAKAH keluaran 8hb Ogos 1997

[6] Beliau telah mengasas pondok beliau yang lebih dikenali “Pondok Syeikh Abdullah al-Masri”.Meninggal dunia jauh lebih awal daripada Hj Hussin ( pada 1 Disember 1976).

[7] Dengan posisinya yang sedemikian,maka kedudukan Hj Hussin dalam banyak hal adalah menyerupai kedudukan Hj Nor Bot (1904-1994) di Kelantan, Hj Ahmad B. Hj Abdul Wahab al-Fusani ( 1902-1996) di Patani,Hj Abas Bukit Putri (1909-1997) di Terengganu dan Hj Ibrahim Bungik ( lahir 1907) di N9.Kelima –lima mereka bolehlah dianggap sebagai tokoh-tokoh ulama “abad ke-20” di peringkat negerinya masing-masing.

[8] Anak-anak dari isteri pertama ialah Muhammad dan Fauziah.Dari isteri kedua(Hajjah Derma-berasal dari Batu Pahat,Johor) ialah Lukman,Busyra, Raihati, ‘Azir,Najah dan Da’iyah.Manakala dari isteri ketiga ( Hajjah ‘Izzah-berasal dari Gombak,Selangor ) ialah ‘Irfanuddin, Khasi’ah , Mujma’ah, Nasirah, Ahmad Najib, Izuddin , Jamal dan Sahir.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP